Skip to main content

5 Cara Kuatkan Sistem Imun Badan Anda Ketika Hamil

imuniti ibu mengandung

Tahukah anda, selain perubahan fizikal, imuniti ibu mengandung juga akan berdepan dengan penurunan? Dalam keadaan dunia bergelut melawan pandemik COVID-19, sudah pasti ia lebih menimbulkan rasa gusar di hati.

Jadi buat bakal ibu sekalian, ini bermakna anda perlu mengetahui cara kuatkan sistem imun badan. Tidak tahu bagaimana? Usah khuatir, kami ada caranya.

Keadaan Sistem Imuniti Ibu Mengandung

Anda mungkin tidak menyangka bahawa sistem imun badan mempunyai banyak kaitan dengan kehamilan. Hakikatnya, kedua-dua perkara ini saling berkaitan.

Proses kehamilan memberi tekanan pada tahap imuniti, untuk memastikan janin tidak dianggap sebagai “sesuatu yang asing” dan sekali gus ditolak badan.

Pun begitu, berdasarkan kajian terkini yang diterbitkan dalam Science Immunology, didapati tindak balas agresif sistem imun penting untuk proses implantasi 1.

Hasil kajian juga menunjukkan kekuatan dan kelemahan imuniti ibu mengandung adalah tepat pada waktunya bagi mencapai hasil terbaik sepanjang proses kehamilan. 1

Namun, ia akan kembali seperti biasa apabila menghampiri tempoh bersalin. 1

Cara Kuatkan Sistem Imun Badan

Apabila tahap imuniti ibu mengandung rendah, ini bermakna seorang wanita hamil tersebut berisiko tinggi untuk terdedah kepada jangkitan dan penyakit.

Jadi apakah cara untuk wanita hamil mengelak daripada jatuh sakit? Cara terbaik untuk menghindari jatuh sakit semasa hamil adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan diri anda sentiasa sihat.

Semakin baik cara penjagaan tahap kesihatan, semakin besar peluang untuk anda mengelakkan diri daripada sakit atau dapat mempercepatkan tempoh pemulihan.

Ini kerana badan yang sihat akan menyokong sistem imun. Antara cara kuatkan sistem imun badan dan penjagaan kesihatan yang wajar diamalkan ibu hamil adalah:

1. Tidur yang mencukupi

Mendapat tidur dan rehat mencukupi adalah penting untuk badan yang sihat.

Ini kerana tabiat kurang tidur boleh menjejaskan sistem imun lalu membuatkan anda berdepan risiko tambahan untuk jatuh sakit 2.

Tidak dinafikan, kehamilan boleh mempengaruhi kualiti tidur, lebih-lebih lagi apabila anda kerap bangun malam untuk ke bilik air atau sukar mencari posisi tidur yang selesa.

Untuk mengatasi masalah tersebut, anda disarankan untuk guna body pillow yang dapat membantu memberikan keselesaan. Pastikan juga anda ke bilik air sebelum masuk tidur.

2. Cara kuatkan sistem imun badan: Hindari tekanan

Perubatan moden telah menemui hubung kait antara minda dan badan.

Apabila tertekan, kemampuan imuniti ibu mengandung untuk melawan antigen berkurang 3. Situasi tersebut akan membuatkan wanita sedang hamil lebih mudah terkena jangkitan.

Tekanan juga mempunyai kaitan dengan sakit perut, sakit kepala dan selesema. Malahan penyakit jantung atau diabetes juga adalah kesan tekanan emosi.

Teknik relaksasi seperti yoga, peregangan, pernafasan mendalam dan urutan merupakan cara terbaik mengatasi tekanan dan menjadikan tidur malam lebih lena.

3. Kesihatan usus bantu kuatkan imuniti ibu mengandung

Saluran gastrointestinal (GI) membentuk sebahagian besar sistem imun, dengan lebih 70% sel pertahanan berada di dalam saluran tersebut.4

Lapisan usus, sebagai contoh, turut berfungsi merembeskan antibodi dan mengandungi sel yang dapat mengenal pasti dan memusnahkan bakteria berbahaya 4.

Di dalam usus juga terkandungnya bakteria baik yang berperanan mensintesiskan vitamin atau bakteria jahat yang akan mencetuskan tindak balas autoimun atau penyakit 4.

Bagi memastikan tahap kesihatan usus sentiasa dalam keadaan optimal, anda disarankan untuk mengambil makanan berasaskan probiotik seperti:

  • Yogurt

  • Kimchi

  • Sup miso

  • Kefir

  • Tempe

  • Keju

Pengambilan probiotik dapat mengelakkan masalah cirit-birit dan sembelit, dua penyakit paling kerap dialami ibu mengandung 5.

4. Aktiviti fizikal

Siapa kata wanita berbadan dua tidak boleh bersenam?

Melakukan aktiviti fizikal semasa hamil terbukti sangat bermanfaat 6. Bersenam secara berkala dapat:

  • Mengelakkan pertambahan berat berlebihan

  • Mengurangkan masalah berkaitan kehamilan seperti sakit belakang, bengkak dan sembelit

  • Memperbaiki kualiti tidur

  • Menambah tenaga

  • Memperbaiki emosi

  • Mempersiapkan badan untuk bersalin

  • Mengurangkan tempoh pemulihan selepas bersalin

Ia juga meningkatkan imuniti ibu mengandung dengan membantu melancarkan peredaran darah lebih baik, membolehkan sel dan zat sistem imun bergerak ke seluruh badan dan melakukan tugas secekapnya.

5. Makanan berserat

Akhir sekali, sudah tentunya penglibatan aspek pemakanan harian adalah sebagai salah satu cara kuatkan sistem imun badan.

Berperanan memastikan sistem pencernaan berjalan lancar, serat adalah bahagian penting dalam diet kehamilan yang sihat 7 dan membantu mengatasi masalah sembelit.

Di samping itu, makanan tinggi serat juga dapat membantu menguatkan sistem kekebalan badan ibu mengandung 8.

Antara contoh sumber makanan kaya serat adalah seperti:

  • Roti dan biskut berasaskan gandum

  • Bijirin penuh seperti oat dan barli

  • Beras perang, merupakan pilihan tinggi serat berbanding beras putih

  • Buah kering seperti aprikot dan ara

  • Sayur-sayuran seperti lobak, kentang, brokoli dan kubis

  • Kekacang

  • Buah-buahan seperti oren, beri dan avokado

Pentingnya Penjagaan Imuniti Ibu Mengandung

Terdapat banyak perkara yang boleh dipertimbangkan untuk membantu meningkatkan sistem imuniti ibu mengandung dan kesihatan semasa kehamilan.

Sekiranya terdapat keraguan atau pertanyaan, dapatkan rundingan doktor untuk lebih kepastian.

 

REFERENCES:

1. An immune clock of human pregnancy (2017). Retrieved July 29, 2020 from:
https://immunology.sciencemag.org/content/2/15/eaan2946.full

2. How To Strengthen Your Immunity In Pregnancy (2020). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.everymum.ie/pregnancy/health-and-well-being/how-to-strengthen-your-immunity-during-pregnancy/

3. Stress, Illness and the Immune System (2010). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.simplypsychology.org/stress-immune.html#

4. 7 ways you can boost your immune system (2017). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.ucihealth.org/blog/2017/04/boost-your-immunity

5. Probiotics During Pregnancy. Retrieved July 29, 2020 from:
https://americanpregnancy.org/pregnancy-health/probiotics-during-pregnancy/

6. Staying Healthy During Pregnancy (2018). Retrieved July 29, 2020 from:
https://kidshealth.org/en/parents/preg-health.html

7. Fibre in pregnancy (2020). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.aptaclub.co.uk/pregnancy/diet-and-nutrition/key-vitamins-and-nutrients/pregnancy-nutrients-fibre.html#

8. Fiber in food calms angry immune cells. Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.futurity.org/fiber-in-food-calms-angry-immune-cells/