We support the World Health Organisation’s recommendation for exclusive breastfeeding for the first six months of life and continued breastfeeding along with the introduction of nutritionally adequate and safe complementary (solid) foods at 6 months together with continued breastfeeding up to two years of age and beyond.

Tarikh Bersalin Hampir Tiba? Bertenang! Segala Kebimbangan Anda Ada Jawapannya

Bersalin bukanlah perkara yang mudah. Pun begitu, apakah perkara paling merisaukan ibu beranak untuk menghadapi proses bersalin?

Keadaan Normal Dialami Ibu Beranak Semasa Proses Kelahiran

Proses bersalin adalah peristiwa yang sangat emosional dan adakalanya sukar dikawal, apatah lagi apabila memikir mengenai sakit beranak yang bakal dialami.

Bagi sesetengah wanita hamil, apabila mendengar pengalaman ibu beranak ia mungkin boleh menyebabkan wujudnya ketakutan yang sukar untuk dijelaskan.

Sememangnya, mempunyai rasa bimbang tentang proses bersalin adalah perkara biasa 1, namun tidak bermakna ia boleh dipandang remeh.

Mengetahui apa yang boleh anda jangkakan ketika proses bersalin itu pastinya dapat mengurangkan kebimbangan yang sedang bermain di hati.

Jadi apakah antara perkara-perkara paling dirisaukan oleh wanita hamil yang bakal bersalin?

Kebimbangan Ibu Beranak

1. Tidak dapat mengendalikan rasa sakit beranak

Melahirkan anak memang menyakitkan dan ia bukanlah perkara dibuat-buat 2.

Dalam kebanyakan kes, peningkatan adrenalin yang berlaku pada ibu beranak membolehkan mereka lebih fokus pada kelahiran anak berbanding kesakitan yang sebenar.

Jika anda mahu bersalin tanpa sebarang ubatan seperti suntikan epidural, ada cara yang boleh membantu mengurangkan kesakitan sekaligus mempercepatkan proses kelahiran tersebut.

Untuk mengurangkan kemungkinan anda mengalami saat bersalin yang menyakitkan, bersenam secara teratur untuk menguat dan mempersiapkan badan.

Cara terbaik adalah dengan mengikuti kelas yoga pranatal. Ibu hamil yang melakukan yoga pranatal biasanya akan kurang berhadapan kesakitan semasa bersalin 3.

Teknik pernafasan yoga pranatal juga dapat membantu menguruskan pernafasan semasa kehamilan dan mengurangkan sakit kontraksi semasa bersalin.

2. Tidak sampai hospital tepat pada waktunya

Sebaik sahaja mula berasa sakit, rata-rata ibu hamil akan memasuki fasa panik dan akan bergegas ke hospital kerana takut akan bersalin di rumah atau di dalam kereta.

Pun begitu, kebanyakan ibu beranak memerlukan masa berjam-jam sebelum melahirkan anak dan risiko untuk bersalin di luar hospital adalah sangat rendah 2.

Untuk menentukan sama ada sudah tiba masanya untuk pergi ke hospital, anda boleh menghubungi doktor obstetrik apabila air ketuban sudah pecah.

3. Tidak mahu faraj terkoyak

Separuh daripada wanita akan mengalami sekurang-kurangnya koyakan kecil pada faraj selepas bersalin. Ia merupakan antara sakit beranak yang paling membimbangkan wanita hamil.

Biasanya, koyakan yang berlaku adalah dari jenis laserasi tahap pertama - melibatkan lapisan faraj, tidak berdarah dan mungkin tidak memerlukan sebarang rawatan.

Ibu beranak anak pertama dan berdepan pertambahan berat badan berlebihan semasa mengandung, mungkin akan meningkatkan risiko untuk mengalami luka pada faraj.

Sekiranya anda masih bimbang, cuba lakukan urutan perineum dalam beberapa minggu menjelang tarikh bersalin bagi meregangkan perineum 4 (kawasan antara faraj dan dubur) secara perlahan-lahan.

Tindakan tersebut juga boleh mengurangkan kemungkinan berlakunya koyakan faraj atau episiotomi semasa bersalin.

Episiotomi adalah prosedur yang melibatkan tisu antara faraj dan dubur (perineum) dipotong 5. Ia akan dilakukan semasa bersalin, selalunya sebelum anak dilahirkan bagi membantu meluaskan laluan kelahiran.

4. Perlu menjalani pembedahan Caesarean (C-Sec)

Berdasarkan data daripada American Journal of Obstetrics and Gynecology, wanita yang pertama kali mengandung dan tidak melibatkan kehamilan kembar mempunyai peluang kurang daripada 15% untuk menjalani C-Sec 2.

Kelahiran caesarean biasanya dilakukan pada ibu beranak dengan keadaan perubatan tertentu seperti diabetes jenis 2, penyakit buah pinggang mahupun kepada ibu dengan peningkatan berat secara berlebihan serta keadaan anak dalam kandungan yang besar.

Kaedah ini juga akan dipilih seandainya anak dalam kandungan berada dalam posisi songsang (breech position) ataupun jika terdapat komplikasi semasa bersalin.

Jangan risau, anda boleh mengurangkan risiko dengan mengawal kenaikan berat badan dengan baik.

Setelah positif hamil, sila berbincang dengan OB-GYN mengenai langkah-langkah yang boleh anda ambil bagi mengurangkan risiko berdepan C-Sec berdasarkan kesihatan anda.

5. Tidak mahu terbuang air besar semasa meneran!

Selain bimbang mengenai sakit beranak yang perlu dialami, bakal ibu juga takut terbuang air besar semasa proses kelahiran.

Situasinya begini wahai bakal ibu, anda satu-satunya yang akan berada dalam bilik bersalin dengan kebimbangan ini dan ya, anda berkemungkinan akan membuang air besar semasa melahirkan anak.

Umumnya, ketakutan tersebut adalah satu keadaan yang normal 6. Kebanyakan jururawat yang berpengalaman akan cepat menyingkirkan sebarang bukti kotoran sebelum anda menyedarinya. Ia adalah tugas mereka dan mereka sudah biasa melaluinya.

Perkara seperti itu biasa berlaku dalam proses bersalin. Mengapa?

Ia disebabkan kepala anak sudah bersedia untuk keluar, sementara anda akan bergantung kepada banyak otot badan untuk meneran bagi mengeluarkannya, ia termasuklah otot pada dubur.

Oleh kerana najis cenderung untuk berada pada bahagian tersebut, kemungkinan untuk ia keluar pada ketika anda meneran adalah tinggi, jadi jangan bimbang.

Bertenang Bantu Kurangkan Sakit Beranak

Anda mungkin merasa agak cemas atau takut bersalin. Ia perkara normal untuk semua ibu beranak. Kehamilan dan bersalin adalah peristiwa hidup yang besar, jadi jangan tertekan kerana mempunyai rasa sebegini.

Bertenang dan jika perlu dapatkan nasihat daripada doktor bagi meredakan tekanan yang dialami.

 

 


REFERENCES:

  1. If you're about to give birth and feeling nervous, know this. Retrieved July 30, 2020 from:
    https://www.mother.ly/life/if-youre-about-to-give-birth-and-feeling-nervous-know-this
  2. 5 common fears about labor and delivery (2015). Retrieved July 30, 2020 from:
    https://carepointhealth.org/
  3. Prenatal yoga: What you need to know (2019). Retrieved July 30, 2020 from:
    https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/in-depth/prenatal-yoga/art-20047193
  4. Labor and delivery, postpartum care (2020). Retrieved July 30, 2020 from:
    https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/labor-and-delivery/expert-answers/preventing-vaginal-tearing-during-childbirth/faq-20416226
  5. Top 10 Childbirth Fears (A Series): Episiotomy (2017). Retrieved July 30, 2020 from:
    https://www.lamaze.org/Giving-Birth-with-Confidence/GBWC-Post/top-10-childbirth-fears-a-series-episiotomy
  6. Top 10 Childbirth Fears (A Series): Will I Really Poop During Birth? (2015). Retrieved July 30, 2020 from:
    https://www.lamaze.org/Giving-Birth-with-Confidence/GBWC-Post/top-10-childbirth-fears-a-series-will-i-really-poop-during-birth

 

Join Enfamama A+ Club